Advertisement
Portal Antarabangsa Terkejut Lihat Insiden Arif Aiman & Theerathon Bunmathan
Hiburan
MakanBola
JST/Astro Arena

Insiden ‘nakal’ di antara penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman dan juga pertahanan Buriram United, Theerathon Bunmathan mendapat liputan oleh portal antarabangsa.

Kejadian tersebut berlaku ketika aksi AFC Champions League Elite (ACLE) melibatkan pasukan JDT dan Buriram United yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Permainan berlangsung seimbang sehinggalah JDT terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain seawal minit ke-13 setelah Murillo dilayangkan kad merah akibat mengasari Dion Cools.

Kekurangan seorang pemain tidak mengendurkan semangat JDT yang tetap berusaha menyerang ke arah kubu Buriram United menerusi gandingan Bergson Da Silva dan Arif Aiman.

Ketika permainan memasuki minit ke-42, satu insiden terjadi melibatkan Arif Aiman yang dicuit di bahagian bawah badan oleh pertahanan Buriram United, Theerathon Bunmathon.

Tindakan ‘nakal’ Theerathon itu menyebabkan Arif terbaring kesakitan dan semakan oleh VAR menyaksikan bek Thailand itu diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan dari Arab Saudi.

Insiden yang mencuri tumpuan ramai ini telah tular dan portal bola sepak antarabangsa, Troll Football turut mengulang siar rakaman video tindakan Theerathon ke atas Arif di laman X.

Malah, portal hiburan bola sepak itu juga terkejut dengan aksi ‘liar’ oleh pertahanan Buriram itu dan reaksi pengguna laman sosial juga terhibur dan tertawa melihat kejadian tersebut.

Keputusan akhir menyaksikan JDT dan Buriram United akur berkongsi mata apabila terikat tanpa jaringan dengan JDT juga kehilangan seorang lagi pemain di penghujung aksi.

Dengan keputusan seri ini, JDT masih kekal di tempat ke-6 dengan lapan mata, berkongsi mata dengan Buriram United yang berada dua tangga di belakang skuad Harimau Selatan.