Separuh masa pertama aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United panas dengan layangan empat kad kuning dan tiga kad merah.
JDT yang beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) tergamam apabila pengadil Arab Saudi, Khalid Salleh Alturais menganugerahkan sepakan penalti kepada Buriram pada minit ke-13. Ini selepas Murilo Henrique didakwa menolak Dion Cools dalam kotak penalti.
Selepas diminta melihat semula insiden di monitor VAR, Khalid menganugerahkan sepakan percuma kepada Thunder Castle. Beliau turut menukar keputusan kad kuning kepada kad merah yang kepada Murilo.
Aksi fizikal terutama membabitkan Buriram menyukarkan Khalid mengawal disiplin permainan. Keadaan ini memaksa beliau melayangkan kad kuning kepada Supachai Chaided dan Phitiwat Sukjitthammakul.
Situasi bertambah panas apabila Theerathon Bunmathan pada awalnya dilayangkan kad kuning kerana bertelagah dengan pengadil.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila Khalid diminta melihat insiden Theerathon meraba alat sulit Arif Aiman Hanapi di monitor VAR. Selepas melihat insiden berkenaan, pengadil Arab Saudi itu tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan berpengalaman itu.
Keadaan ini menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama terikat tanpa jaringan dengan 10 pemain.
Separuh masa kedua menyaksikan layangan kad terus mewarnai aksi Harimau Selatan dan Thunder Castle. Penjaga gol Filipina, Neil Etheridge menjadi pemain keempat Buriram dilayangkan kad kuning oleh Khalid kerana cuba melengahkan masa permainan.
Bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong menjadi pemain JDT kedua dilayangkan kad merah. Ini selepas bek tengah berusia 31 tahun itu melakukan terjahan merbahaya ke atas Guilherme Bissoli pada minit akhir permainan.
Kedua-dua pasukan masing-masing menamatkan perlawanan dengan sembilan dan 10 pemain. Keputusan 0-0 menyaksikan Harimau Selatan dan Thunder Castle kini menduduki tangga keenam dan kelapan Liga Timur ACLE.
Isu disiplin yang dihadapi JDT dan Buriram United turut memberi kesan kepada markah persembahan pemain di Sofascore. Murilo dan Theerathon masing-masing menerima markah 3.0 dan 6.0.
Jun-heong pula bernasib baik kerana merekodkan markah 7.0 sebelum diperintah keluar padang oleh Khalid pada minit akhir perlawanan.