Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menegaskan tiada istilah dendam dalam sukan bola sepak menjelang pertemuan pasukan itu dan Senegal dalam Kumpulan I Piala Dunia 2026.
Pertemuan Les Bleus dan Singa Teranga itu mengingatkan ramai peminat bola sepak terhadap kekalahan mengejut pasukan itu dalam Piala Dunia 2002.
Senegal yang ketika itu dibimbing Bruno Metsu mencipta kejutan dengan mengalahkan Perancis 1-0. Kekalahan ini cukup pahit kerana ketika itu, Les Bleus dibarisi ramai pemain bintang seperti Zinedine Zidane, David Trezeguet dan Thierry Henry.
Kini, selepas 24 tahun, ada peminat melihat aksi ini sebagai peluang Perancis membalas dendam terhadap Senegal. Meskipun begitu, Deschamps menolak tanggapan berkenaan.
Ini kerana majoriti pemain yang beraksi dalam Piala Dunia kali ini belum lagi lahir pada 2002. Justeru, pada hemat legenda Perancis itu, aksi kali ini disifatkan aksi berbeza buat kedua-dua pasukan.
“Dengar, itu cuma sejarah tetapi pemain berpengalaman (seperti) N’Golo (Kante), saya tak pasti beliau menonton perlawanan itu.
“Hampir semua pemain saya belum lagi dilahirkan pada 2002. Saya tahu anda suka perkataan dendam tetapi tiada dendam dalam bola sepak,” katanya seperti dilaporkan AniNews.
Deschamps turut melihat Senegal sebagai satu pasukan yang berkualiti terutama di bahagian serangan. Atas sebab itu, beliau mahu anak buahnya memberikan aksi terbaik bila kedua-dua pasukan bertemu.
“Mereka memiliki kapasiti serangan (yang hebat), bahagian tengah mereka juga bagus. Bila anda sebahagian daripada pasukan-pasukan terbaik, anda memiliki segala-galanya,” tambahnya.
Perancis dan Senegal akan berentap pada 17 Jun.