Advertisements
Tiada Laporan Prestasi Pasukan Punca Choi Moon-sik Direhatkan
Liga Super
MakanBola
Kelantan FC

Semalam, kecoh arena bola sepak Malaysia apabila pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengumumkan Choi Moon-sik direhatkan sebagai jurulatih. Hari ini, beliau mendedahkan pelbagai sebab mengapa bekas jurulatih Daejeon Citizen itu direhatkan.

Dalam satu kenyataan di Facebook, antara sebab utama Moon-sik direhatkan ialah prestasi pasukan yang merudum termasuk siri kekalahan berturut-turut yang dialami Kelantan. Dari satu segi, ia tidaklah mengejutkan kerana tindakan tersebut akan dipertimbang Zamsaham sekiranya prestasi Kelantan terus merosot.

Ini bukan kali pertama tindakan merehatkan jurulatih dibuat oleh Zamsaham. Sebelum ini, beliau turut merehatkan Marco Ragini pada akhir tahun 2021 dengan Rezal Zambery Yahya dilantik sebagai pemangku jurulatih.

Selain siri kekalahan berturut-turut yang dialami pasukan, kegagalan Moon-sik menyerahkan laporan prestasi pasukan dan ketiadaan komunikasi antara pemain dengan jurulatih turut menyumbang kepada keputusan tersebut.

“Ya benar, saya buat keputusan merehatkan Choi (Moon-sik) selepas kekalahan berterusan dan kesukaran komunikasi antara pemain dan jurulatih-jurulatih lain selain tiada laporan prestasi dari ketua jurulatih.

“Saya kena buat keputusan ini sebagaimana saya jadikan Rezal Zambery jurulatih sementara ketika ketiadaan Marco Rajini (Ragini) dahulu,” katanya.

Dengan Rezal Zambery memainkan peranan sebagai jurulatih sementara, ramai ingin tahu siapa yang akan dibawa masuk sebagai pengganti Moon-sik. Bagi Zamsaham, hal itu perlu dibincangkan dengan lembaga pengarah kelab, barisan jurulatih dan pengarah teknikal Frank Bernhardt sebelum lantikan baru dibuat.

“Saya ada dua pilihan. Nak ambil jurulatih tempatan atau import. Saya sedang dapatkan pandangan dari BOD (Lembaga Pengarah), ‘Supporting Director’ dan barisan jurulatih lain.

“Buat masa ini, Frank Bernhardt masih Pengarah Teknikal. Jika ada perubahan struktur, saya akan umumkan segera,” tambahnya.