Advertisements
Zamsaham Taruh Harapan Tinggi Terhadap Choi Moon-sik
Liga Super
MakanBola
TRW Kelantan FC

Semalam, pengumuman perlantikan Frank Bernhardt sebagai Pengarah Teknikal Kelantan menamatkan spekulasi berkenaan kedudukan Choi Moon-sik. Dan bagi pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham, beliau masih percaya dengan keupayaan jurulatih Korea Selatan itu membimbing The Red Warriors.

Setakat ini, Kelantan merekodkan satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan. Tetapi semangat juang yang ditunjukkan The Red Warriors ketika mengikat KL City 2-2 menunjukkan jika Moon-sik diberi masa, pasukan ini boleh saja menjadi satu pasukan yang mantap.

Atas sebab itu, Zamsaham tidak mahu terburu-buru dalam menilai kedudukan bekas jurulatih Daejeon Citizen itu. Situasi tersebut hanya akan berubah apabila pasukan mengalami kemerosotan drastik termasuk siri kekalahan berturut-turut.

“‘So far’, kalau ada tanya saya soalan adakah saya berpuas hati dengan Choi Moon-sik, ‘so far’ saya kata masih berpuas hati dengan dia.

“Tapi seperti yang tertakluk dalam kontrak juga, jika ada kalah berterusan atau pun keputusan makin teruk bila pergi ke depan, memang tertakluk dalam kontrak kita akan ambil tindakan terhadap dia.

“‘So far’, tidak ada apa-apa tindakan. Dia masih lagi mengemudi (Kelantan) dan saya selaku pemilik kelab menaruh keyakinan 100% terhadap Choi Moon-sik,” katanya bila ditemubual oleh Astro Arena.

Di sebalik keyakinan yang disuarakan, ia juga sebenarnya satu peringatan kepada pasukan agar terus berusaha menambahbaik kedudukan mereka. Ketika ini, Kelantan menduduki tangga ke-10 liga dengan perlawanan mereka seterusnya ialah menentang Negeri Sembilan pada 1 April ini.