Tonggak Timor Leste, Joao Pedro menegaskan sudah melupakan kekalahan pada aksi sulung Piala Mitsubishi Electric Asean di tangan Thailand dan fokus kini dialihkan kepada Malaysia.
Bekas pemain UITM FC itu dalam masa yang sama berharap para pemain dapat belajar daripada kekalahan 0-10 kepada Thailand tempoh hari.
“Selepas perlawanan pertama (bertemu Thailand) kami melepaskan banyak sangat gol. Saya rasa kami juga tidak menjangkakan akan melepaskan sebegitu banyak gol.
“Kami sudah melupakan perlawanan sebelum ini dan saya rasa kami sudah bersedia untuk perlawanan seterusnya (bertemu Malaysia).
“Kami tetap belajar daripada perlawanan (bertemu Thailand). Kami akan memperbaiki setiap aspek untuk hadapi perlawanan seterusnya,” jelas Joao Pedro dalam sidang media pra perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Timor Leste dan Malaysia dijadualkan bertemu pada esok (11 Disember) dengan menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi venue perlawanan tersebut.
Perlawanan ini sudah pasti ditunggu-tunggu seluruh peminat bola sepak Malaysia yang mahu menyaksikan pasukan kendalian Pau Marti itu meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Mitsubishi Electric Asean selepas hanya mampu seri 2-2 ketika aksi sulung bertemu Kemboja.