Tindakan murni penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva ketika aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Malaysian University FT tempoh hari dipuji warganet.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, Bergson dan penjaga gol Malaysian University, Irfan Syafiq telah berlanggar sesama sendiri ketika penyerang dari Brazil itu mahu menyambar hantaran lintang rakan sepasukan.
Akibat perlanggaran tersebut, Irfan Syafiq terpaksa dikeluarkan lebih awal kerana kecederaan yang agak serius dan digantikan dengan penjaga gol kedua.
Selepas Irfan diusung keluar, Bergson sempat meluru ke arah Irfan dan dilihat telah mengusap wajah penjaga gol muda itu.
Tindakan murni Bergson itu telah dipuji warganet yang telah menonton video tersebut di aplikasi Tiktok.
“Bergson rasa dia bertanggungjawab atas kecederaan penjaga gol itu. Dia berlari ke arahnya sebagai tanda simpati dan memberi kata-kata semangat. Bergson prihatin,” coret Aziman di ruangan komen.
Perlawanan suku akhir kedua berakhir dengan kemenangan buat JDT yang menewaskan Malaysian University 8-0 dan secara agregat JDT ke separuh akhir dengan agregat 13-0.
Untuk aksi separuh akhir, JDT dijadualkan bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 20 Julai di gelanggang lawan sebelum aksi timbal balik pada 3 Ogos di laman sendiri