Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ) memberikan reaksi terhadap perlawanan melibatkan Levski Sofia dan JDT di Dubai.
Menurut TMJ, pasukan lawan beberapa kali melakukan kesalahan ‘kotor’ namun dibiarkan pengadil perlawanan dari Serbia sekaligus menjadikan perlawanan semakin tegang dan kasar.
Dalam perlawanan persahabatan tersebut, JDT mendahului perlawanan dengan 1 jaringan namun perlawanan dihentikan pada minit ke-54 selepas pemain Levski membuat keputusan untuk keluar dari padang.
“Pasukan lawan terjah, tiada kad kuning. JDT diri jadi benteng beberapa meter pun kena kad kuning. Bagi saya pengadil Serbia gagal mengawal perlawanan.
“Nombor 30 ludah di muka Leandro dan tendang Leandro tiada kad. Daripada situ mulanya perlawanan jadi lebih agresif dan tertekan.
Mungkin mereka tak boleh terima kelab kecil dari Asia mendahului 1-0 lawan kelab Eropah.” komen TMJ di Instagram JDT.
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan di media sosial, rata-rata penyokong turut kecewa dengan sikap pemain Levski Sofia yang tidak mahu meneruskan perlawanan.
JDT dijadulakan bakal bertemu Lokomotiv Moscow pada 2 Februari dan bakal berhadapan cabaran lebih getir bertemu juara Liga Rusia, FC Zenit pada 6 Februari ini.