Ketua pasukan skuad kebangsaan Korea Selatan, Son Heung-min memohon agar semua pihak dapat memaafkan Lee Kang-in di atas bencana yang telah berlaku dalam kem Korea Selatan di Piala Asia 2023 tempoh hari.
Son mengakui bahawa Kang-in telah melalui hari-hari yang sukar selepas insiden pergaduhan yang berlaku di antara mereka.
“Hari ini, saya ingin menangani perkara yang agak serius dan sukar. Kang-in dengan ikhlas merenungkan tindakannya dan memohon maaf kepada saya dan semua pemain pasukan kebangsaan.
“Saya juga telah melakukan banyak kesilapan dan menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini semasa saya masih muda, tetapi setiap kali (saya lakukannya), saya mendapat nasihat dan ajaran yang tajam dari senior yang baik, yang saya percaya telah menjadikan saya hari ini.
“Untuk memastikan Kang-in tidak mengulangi salah laku sedemikian, kami semua pemain, sebagai pemimpin pasukan kebangsaan, akan menyokong (Kang-in) terutamanya untuk membantu Kang-in berkembang menjadi manusia dan pemain yang lebih baik.
“Sejak kejadian itu, Kang-in telah melalui masa yang sangat sukar. Tolong maafkan dia dengan hati yang murah hati. Sebagai kapten pasukan kebangsaan, saya bersungguh-sungguh meminta perkara ini,” luah Son di laman Instagram.
Dalam pada itu, Son menganggap berita perpecahan dalam skuad kebangsaan Korea Selatan adalah tidak benar kerana para pemain sentiasa berusaha sehabis baik untuk mencapai kejayaan.
“Khabar angin yang tersebar mengenai perpecahan dalam pasukan kebangsaan adalah tidak relevan dengan kebenaran. Kami sentiasa berusaha untuk berpasukan. Walaupun menerima begitu banyak kasih sayang melalui bola sepak, saya amat menyesal kerana isu tersebut mengganggu.
“Melangkah ke hadapan, kami akan bekerja lebih keras untuk memastikan pasukan kebangsaan Korea Selatan berkembang lebih baik selepas pengalaman ini. Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf sebagai kapten pasukan kebangsaan Korea Selatan.” tulis Son mengakhiri coretan.
Hantaran di Instagram itu meraih pujian ramai dengan rata-rata menganggap Son sebagai kapten yang sangat bertanggungjawab. Coretan panjang dari Son itu menerima 1.8 juta tanda suka serta ribuan komen.