Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner memberi gambaran awal mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Selangor pada Jumaat.
Sang Penyu menanti kunjungan Selangor di Gong Badak dengan misi bagi membawa bekalan selesa ke Kelana Jaya setelah cemerlang menewaskan Sabah dengan agregat 7-0 sebelum ini.
Menurut Steinbruckner, beliau tidak menolak untuk menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika bertemu Sabah dua minggu lalu untuk aksi berdepan Gergasi Merah ini.
“Kemungkinan kita akan turunkan pasukan yang sama (ketika bertemu Sabah) untuk perlawanan besar menentang Selangor,” kata beliau menurut laporan Stadium Astro.
“Pemain kami beraksi dengan baik ketika bertemu Sabah sebelum ini. Jadi sukar untuk diubah.”
Tambah beliau lagi, meskipun Selangor akan turun tanpa 2 pemain import, Reziq Bani Hani serta Yohandry Orozco kerana penggantungan namun Steinbruckner mahu anak buahnya fokus kepada kekuatan pasukan sahaja.
“Ya, (dua penggantungan pemain) itu memberi kelebihan kepada kami tetapi Selangor, mereka ada bukan hanya 11 pemain yang baik,” ujar pengendali kelahiran Croatia itu.
“Jadi, saya mahu pasukan fokus pada kekuatan kami esok, bukan kepada (kelemahan) pasukan lawan.”
Pertemuan Terengganu dan Selangor bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat dengan sepak mula dijadualkan pada jam sembilan malam.