Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner percaya anak-anak buahnya mampu merampas mata daripada lawan mereka, Central Coast Mariners esok.
Pertembungan dua pasukan ini dalam aksi kelima Kumpulan G ini dianggap menarik kerana kedua-dua pasukan menghuni kedudukan dua teratas kumpulan.
Selain itu, The Mariners mahu membalas dendam selepas tewas tipis 1-0 di tangan skuad Peteh dalam aksi pertama Kumpulan G pada September lalu.
Biarpun berdepan tugas sukar beraksi di tempat lawan dan masalah kecederaan, Steinbruckner yakin skuad Penyu mampu mencuri mata daripada CCM esok.
“Ya, kita sedikit terkejut dengan (keputusan) perlawanan pertama itu (kemenangan 1-0 Terengganu ke atas CCM). Tapi OK, kita tahu kualiti (Central Coast) Mariners (terutama) pemain-pemain individu tetapi kita juga tahu kualiti (pasukan) kita.
“Kadang-kadang kita lihat lebih kerap tapi adakalanya (tidak menjadi) seperti perlawanan terakhir Liga Super (menentang Sabah FC) di Malaysia.
“Tapi esok, saya percaya para pemain akan beri yang terbaik kerana kalau kita nak mara ke pusingan seterusnya, kita kena dapatkan mata esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan yang disiarkan TFC TV.
Terengganu bakal berdepan CCM di Stadium Central Coast esok.