Advertising
Liga Super: Sabah Bedil Terengganu 4-0
MakanBola
Terengganu FC

Aksi di Stadium Sultan Zainal Mizan Abidin berakhir dengan kemenangan memihak kepada pasukan pelawat apabila Sabah mengutip tiga mata selepas mengatasi Terengganu dalam saingan Liga Super 2023.

Pemain import Sabah, Ramon Machado memecah kebuntuan seawal minit keenam permainan selepas menyempurnakan hantaran lintang Rizal Ghazali dengan satu sepakan gunting cantik menggegar jaring.

Pada minit ke-29 permainan, giliran Saddil Ramdani pula mencatat nama sebagai penjaring. Percubaan dari luar kotak penalti Saddil gagal diselamatkan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.

Ad

Sebelum babak pertama perlawanan tamat, Miguel Cifu melebarkan kedudukan untuk gol ketiga Sabah. Hantaran lintang dari Rizal Ghazali disempurnakan Cifu dengan satu rembatan. Separuh masa pertama tamat, Terengganu 0-3 Sabah.

Pada aksi separuh masa kedua, Terengganu cuba bangkit untuk mengikat Sabah namun jaringan buat pasukan tuan rumah tetap tak kunjung tiba.

Ad
Ad

Pemain gantian Sabah, Jafri Firdaus Chew terus meranapkan hasrat Skuad Peteh untuk sekurangnya meraih satu mata. Jafri melengkapkan malam gemilang The Rhinos di laman lawan dengan menjaringkan gol keempat buat Sabah.

Ad

Aksi tamat, Terengganu 0-4 Sabah.

Terengganu dan Sabah selepas ini akan beralih fokus ke saingan Piala AFC. Terengganu akan terbang ke bumi Australia menentang Central Coast Mariners pada Rabu, 29 November sementara Sabah akan berkunjung Singapura untuk menentang Hougang United pada Khamis, 30 November 2023.