Tonggak Johor Jewels Sedia Berjuang Demi Trofi NSL
UltraSukan
Johor Jewels

Laungan ‘Reclaim The Crown’ dilihat melambangkan tekad Johor Jewels untuk memburu trofi Netball Super League (NSL) musim 2026.

Hasrat itu dizahirkan pemain Johor Jewels, Nurul Ayu Izarin Zamri menjelang final NSL menentang Terengganu Marvels.

Pemain yang mesra disapa Ayu itu melihat laungan tersebut sebagai bukti Johor Jewels untuk meraih mahkota kejuaraan selepas gagal melakukannya pada 2025.

“Slogan ‘Reclaim the Crown’ itu adalah semangat buat kami kerana memang kami mahukan piala itu semula dan semua pemain bersedia lakukan yang terbaik pada aksi akhir nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan separuh akhir NSL baru-baru ini.

Aksi separuh akhir NSL menyaksikan Johor Jewels menewaskan juara edisi sebelumnya, KL Wildcats dengan keputusan 65-48.

Ayu Izarin beraksi dalam perlawanan itu selepas dibawa masuk sebagai pengganti pemain Johor Jewels yang cedera, Noramirah Dayana. Kehadiran beliau membantu pasukan selatan tanah air itu meraih tiket final.

“Saya sememangnya semangat apabila diberikan peluang dan mahu berikan yang terbaik atas kesempatan yang hadir ini.

“Apabila mengetahui yang saya perlu menggantikan Nora, saya bersedia sepenuhnya dan kini sedia membawa kejuaraan buat Johor Jewels,” ujarnya.

Pentas final NSL bukan saja peluang Johor Jewels bergelar juara. Malah, ini juga peluang pasukan itu membalas dendam terhadap lawan mereka, Terengganu Marvels.

Ini kerana pasukan Pantai Timur itu mencipta kejutan dengan menewaskan Johor Jewels di peringkat round robin. Justeru, Ayu Izarin memaklumkan pasukan itu sudah bersedia untuk tampil cemerlang di peringkat akhir.

“Memang saya tidak bermain tempoh hari tetapi kami sudah mengenal pasti taktikal yang dirancang dan kami akan lakukan yang terbaik,” tambahnya.

Gandingan dua tonggak import, Gretel Bueta dan Laura Langman dijangka terus menjadi sandaran Johor Jewels untuk merebut trofi NSL.