Tonggak Jordan, Mohammad Abualnadi secara rasminya diumumkan selaku pemain baharu Selangor FC.
Beliau menjadi pemain sayap kiri baharu The Red Giants untuk bersaing dalam kancah Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.
Pemain Jordan-Amerika itu memulakan kerjayanya bersama Akademi Kansas ketika berusia 18 tahun selain berkelana berada di Amerika selama lima musim.
Beliau juga bermain di Piala Terbuka AS dengan skuad utama Sporting Kansas City, MLS Next Pro dan Kejuaraan USL dengan Sporting Kansas City II. Abualnadi bermain dalam 11 perlawanan sebagai pemain remaja sebelum menerima tawaran untuk terbang ke Jordan bersama Al-Hussein SC.
Pemain kental itu juga merupakan pemain kebangsaan Jordan yang pernah bermain bersama skuad bawah 23 tahun dalam Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Barat U23 (empat penampilan, dua gol), Pusingan Kelayakan Piala Asia AFC U23 (tiga penampilan dan satu gol) dan Kejohanan AFC U23 .
Musim 2024 merupakan batu loncatan buat pemain berketinggian 188cm itu apabila menerima panggilan kebangsaan untuk menyertai kem latihan pada Julai.
Beliau akhirnya membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama Jordan menentang Korea Utara dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 23 Ogos.
Beliau juga telah disenaraikan dalam dua perlawanan pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kuwait dan Palestin baru-baru ini.
“saya komited untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan. Saya memahami jangkaan tinggi yang datang dengan jersi ini dan bersedia untuk menyokong rakan sepasukan saya dalam mencapai matlamat kami.
“Saya tidak sabar untuk merasai suasana penyokong kami yang bersemangat dan berazam untuk membanggakan mereka ketika kami berusaha mencapai kejayaan musim ini,” jelas beliau.