Sri Lanka terus mempergiatkan usaha menambah lebih ramai pemain warisan dalam skuad bola sepak mereka.
Terbaru, Persekutuan Bola Sepak Sri Lanka (FFSL) mengumumkan Geremi Perera menjadi pemain warisan terbaru memperkuatkan skuad yang dibimbing Abdullah Al Mutairi itu.
“Sri Lanka mengalu-alukan seorang lagi pemain profesional dari Jerman. Seorang pemain tengah menyerang dari liga Jerman menyertai skuad kebangsaan Sri Lanka hari ini,” kata FFSL dalam satu kenyataan.
“Geremi Perera memiliki ibu bapa Sri Lanka yang tinggal di Jerman telah bertemu dengan Presiden FFSL, Jaswar Umar untuk menyertai pasukan secara rasmi.”
Perera menjadi pemain keempat yang berpangkalan di Jerman yang menjadi sebahagian daripada barisan The Golden Army.
Selain beliau, Sri Lanka turut memiliki kudrat Claudio Kammerknecht, Jason Thayaparan dan Leon Perera sebagai tonggak yang beraksi di Jerman.
Meskipun baru berusia 20 tahun, Perera membuktikan dirinya sebagai tonggak utama kelab divisyen lima Jerman, ATSV Erlangen. Beliau sudah menjaringkan 10 gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam 23 penampilan liga.
Seandainya dipanggil menyertai The Golden Army, Perera berpeluang membuat penampilan pertama dalam aksi persahabatan menentang Laos.
Ini kerana Sri Lanka telah mengatur dua aksi persahabatan dengan Laos berdasarkan satu laporan SiamSport. Dua aksi itu merupakan aksi pemanas badan sebelum bertemu Thailand pada 25 Mac.
Sri Lanka dan Thailand berada dalam Kumpulan D bersama Turkmenistan dan Chinese Taipei.