Tonggak PDRM, Prince Aggreh Sertai Kelab Kuwait
MakanBola
Kuching City FC

Bekas pemain import PDRM FC, Prince Aggreh sah menyertai kelab Kuwait, Khaitan SC.

Sebelum ini, Aggreh tidak lagi bersama The Cops selepas menerima tawaran daripada kelab Timur Tengah berkenaan.

Ini mendorong pengurusan PDRM dan pemain sayap berusia 27 tahun itu untuk menamatkan kontrak yang dimeterai secara persetujuan bersama.

Keputusan itu menjadikan Aggreh antara bintang import yang memilih mencari angin baru selepas meninggalkan saingan Liga Malaysia (Liga M). Beliau menyertai Ramon Machado, Kuvondik Ruziev, Lazar Sajcic, Chadrack Muzungu dan Valdumar Augusto Te.

Kini, PDRM mengesahkan Aggreh telah memeterai perpindahan ke Khaitan SC menerusi ucapan penghargaan buat beliau.

“Prince Aggreh sudah melengkapkan perpindahan ke kelab Kuwait, Khaitan SC. Kami mengucapkan selamat berjaya kepada beliau di kelab barunya. Terima kasih Prince!” kata kelab dalam satu kenyataan di X.

Dengan tetingkap perpindahan kedua liga sudah dibuka bermula 26 Ogos sehingga 22 September ini, PDRM memiliki tempoh masa mencukupi untuk mencari pengganti beliau.

Ketika ini, The Cops memiliki khidmat Ifedayo Olusegun, Bruno Suzuki, Aremu Timothy, Chidi Osuchukwu, Faith Obilor, Kyaw Min Oo dan Fadi Awad sebagai tonggak import utama pasukan.