Selepas bersetuju menamatkan kontrak secara bersama dengan Chadrack Muzungu, kini Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) melepaskan pula khidmat Valdumar Augusto Te.
Sebelum ini, pengurusan Kijang Emas bersetuju menamatkan kontrak Muzungu meskipun hanya bersama pasukan itu selama tiga bulan.
Sepanjang tempoh itu, beliau hanya beraksi sebanyak empat perlawanan Liga Malaysia (Liga M) termasuk aksi Piala FA 2024 menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Muzungu tidak mencipta satu jaringan dalam semua penampilannya.
Kini, giliran Valdumar pula dilepaskan pengurusan Kijang Emas. Ini berdasarkan satu komen pengurusan pasukan di Instagram rasmi Kelantan DN berkenaan status pemain berkenaan.
“(Status) Valdumar, (tempoh) kontraknya nak habis sudah,” jelas pihak pengurusan di ruang berkenaan. Ramai penyokong berpandangan jodoh penyerang Guinea-Bissau itu dengan Kelantan DN akan berakhir.
Kali terakhir Valdumar membuat penampilan untuk pasukan Pantai Timur itu ialah aksi Liga Super menentang Selangor FC pada 10 Ogos lalu. Sepanjang bersama Kelantan DN, beliau merekodkan lapan penampilan tanpa sebarang jaringan.
Berdasarkan maklumat Transfermarkt, Valdumar sudah mempunyai destinasi baru iaitu Libya. Ini selepas penyerang itu menerima tawaran Al-Tahadi Benghazi.
Penyerang berusia 26 tahun itu menyertai Mahmoud Abu Warda, Shehab Qunbar, Jean-Willy N’Da dan Dhiya Mahjoub Musa sebagai tonggak import terbaru pasukan itu.
Ketiadaan dua peledak ini bakal membuka ruang kepada pengurusan pasukan membawa penyerang baru untuk kembali memantapkan kempen Kelantan DN untuk musim 2024/25.