Penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim, Rezal Zambery Yahya berpandangan kehadiran beberapa penyerang baru mampu meningkatkan prestasi pasukannya dalam saingan Liga Super.
Kelantan DN tewas 1-3 kepada Perak di Stadium Sultan Muhammad IV sekaligus mengutip kekalahan kelima liga musim ini.
Anak buah kendalian Park Jaehong hanya merekodkan 4 gol dalam 6 perlawanan liga musim ini sekaligus memberi petanda jentera serangan Kelantan DN bergelut untuk menghasilkan gol.
Rezal Zambery mengakui bahagian serangan pasukan Kelantan DN harus diperbaiki dan berkemungkinan beberapa pemain baru bakal menghiasi pasukan tersebut pada jendela perpindahan akan datang.
“Sudah ada perbincangan antara pihak jurulatih dan pihak pengurusan untuk kita menukar pemain import terutama di bahagian serangan.
“Jika kita lihat kita sukar jaringkan gol walaupun kita mencipta peluang dan mempunyai gaya permainan. Untuk menang perlawanan kita mesti jaringkan gol.
“Saya rasa akan ada perubahan apabila jendela perpindahan dibuka. Kalau kita mahukan pembaharuan, pemain yang kritikal ialah penyerang ketika ini.
“Mungkin ada 2 atau 3 pemain yang akan dibawa masuk oleh pihak pengurusan dan saya berharap ketiga-tiga itu adalah penyerang.
“Bahagian tengah kita sudah ada Oday Kharoub dan di bahagian pertahanan kita ada Jerabek. Cuma kita kekurangan di bahagian serangan.” ujar Rezal Zambery setelah tamat perlawanan.
Kelantan DN seterusnya akan menentang cabaran Penang pada 1 Ogos kelak bagi aksi Liga Super 2024/2025.