Advertisements
Tonggak Villarreal Antara Taruhan Bahrain Hadapi Indonesia
Asia
MakanBola
Bahrain National Team

Jurulatih Bahrain, Dragan Talajic membuat kejutan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Indonesia pada awal pagi 11 Oktober ini.

Mengikut senarai 27 pemain yang dipanggil Talajic untuk kem kali ini, nama bintang muda Villarreal, Sayed Ahmed Al Wadaei tersenarai.

Ini menjadikan Sayed Ahmed sebagai pemain paling muda yang mendapat panggilan menyertai pasukan yang diberi jolokan Al-Ahmar itu.

Menurut laporan Al-Watan News, Talajic mahu Sayed Ahmed menyertai kem Bahrain selepas kagum dengan bakat yang dimiliki pemain muda berkenaan.

Beliau melihat dengan menyertai kem tersebut, ini akan memberi pendedahan berguna buat pemain muda El Submarino Amarillo itu.

Selain Sayed Ahmed, nama pemain tengah Kuching City FC, Moses Atede turut tersenarai dalam skuad Bahrain kali ini. Beliau disertai seorang lagi pemain Bahrain berdarah Nigeria, Vincent Emmanuel.

Talajic turut mengekalkan ramai tonggak berpengalaman bagi membantu Al-Ahmar menghadapi cabaran Indonesia. Antara nama yang dipanggil jurulatih Croatia itu ialah Sayed Mohammed Jaffer, Waleed Al Hayam, Ali Madan, Abdulwahab Al-Malood dan kapten, Kamil Al-Aswad.

Bahrain berharap dapat bangkit daripada kekalahan besar 5-0 di tangan Jepun dalam aksi kedua Kumpulan C pada 10 September lalu.

Al-Ahmar bakal berdepan cabaran sukar daripada Indonesia. Ini kerana pasukan itu diperkuat dengan dua tonggak warisan terbaru iaitu Mees Hilgers (FC Twente) dan Eliano Reijnders (PEC Zwolle).