Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi melihat trio Kuching City FC iaitu Yuki Tanigawa, Jordan Mintah dan Ramadhan Saifullah mampu memberi cabaran kepada pasukan itu.
Pandangan jurulatih Jepun itu dibuat berdasarkan prestasi semasa The Cats sejak kebelakangan ini. Selepas tersingkir dalam saingan Unifi Piala Malaysia, Kuching City belum tewas dalam tujuh perlawanan.
Ini termasuk kemenangan 3-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 12 Mac lalu. Menariknya, trio ini menyumbang kepada prestasi mantap The Cats.
Mintah dan Ramadhan masing-masing menyumbat 12 dan dua gol bersama Kuching City setakat ini. Tanigawa pula membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan bersama James Okwuosa.
Atas sebab itu, Kinoshi mahu Selangor tampil lebih mantap bagi membolehkan mereka dapat meraih kemenangan di Kuching.
“Ia satu perlawanan yang sukar. Pada pandangan saya, Kuching City merupakan antara pasukan terbaik di Malaysia,” katanya.
“Dan mereka ada ramai pemain hebat seperti (Yuki) Tanigawa, pemain Jepun. Dan juga (Jordan) Mintah dan Ramadhan (Saifullah).
“Mereka pemain yang bagus dan kita perlu fikirkan cara bagaimana hendak menyekat mereka. Macam saya kata, ia akan jadi satu perlawanan yang sukar.”
Selangor berdepan Kuching City di Kuching untuk aksi tertunda minggu 23 Liga Super.