Kuching City FC meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi tertunda Liga Super.
Aksi membabitkan kedua-dua pasukan ini sepatutnya berlangsung pada 24 Januari lalu. Walau bagaimanapun, perlawanan terhenti pada minit ke-17 akibat faktor hujan lebat dan padang digenangi air.
Situasi ini memaksa perlawanan membabitkan The Cats dan Sang Kenari terpaksa ditunda ke 12 Mac.
Kuching City turun tanpa kelibat pemain tengah kebangsaan, Danial Amier Norhisham yang mengalami kecederaan. Milos Gordic mengetuai jentera serangan Kedah
Sebaik perlawanan disambung, tuan rumah menyangka telah mendahului pada minit ke-21 menerusi Ramadhan Saifullah.
Pemain sayap berusia 24 tahun itu hampa apabila golnya dibatalkan. Ini selepas pegawai VAR, Firdaus Dahlan mengesan Tchetche Kipre di kedudukan ofsaid.
Tiga minit selepas itu, giliran bekas penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri menguji gawang Kedah. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Sang Kenari, Ifwat Che Kassim.
Kedah kemudiannya memasukkan Ebenezer Assifuah menggantikan Gordic pada minit ke-39. Ini selepas penyerang Serbia itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Gol yang dicari The Cats akhirnya muncul lima minit selepas itu. Hazwan mudah menolak hantaran Kipre yang gagal disekat Ifwat.
Kedah berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Kedah, Victor Andrag membuat dua pertukaran pemain.
Beliau memasukkan Fayadh Zulkifli dan Aiman Farhan Muhamad Fauzi untuk memperkemas rentak pasukan itu.
Tatkala Sang Kenari meningkatkan asakan, gawang mereka bocor lagi buat kali kedua pada minit ke-58. Ramadhan melepaskan satu rembatan lencong yang menewaskan Ifwat.
Kipre hampir menyumbat gol ketiga Kuching City pada minit ke-64. Malangnya, percubaan beliau berjaya disekat Ifwat sebelum mara ke gawang pelawat.
Sang Kenari berusaha merapatkan jurang jaringan dengan Kuching City tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, Jordan Mintah memastikan keputusan 3-0 buat tuan rumah pada minit akhir perlawanan.
Keputusan itu membolehkan The Cats memintas Terengganu FC di tangga keempat dengan 33 mata. Kedah pula kekal di tangga ke-11 dengan 20 mata.
Selepas ini, Kuching City akan menentang Selangor FC pada 16 Mac. Kedah pula akan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 29 Mac.