Advertising
Liga Super: Aksi Kuching City vs Kedah Ditunda
MakanBola
Kuching City FC

Aksi Liga Super membabitkan Kuching City FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa ditunda.

The Cats memburu satu lagi kemenangan selepas menewaskan PDRM FC 2-0 pada 11 Januari lalu. Sang Kenari pula mahu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka buat kali ketujuh.

Tchetche Kipre dan Hazwan Bakri menjadi sandaran gol pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak. Milos Gordic mengetuai cabaran Kedah sebagai pasukan pelawat.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mempamerkan aksi berkualiti dalam keadaan cuaca hujan lebat di Stadium Negeri, Kuching.

Ad

Hazwan hampir menggegar gawang Kedah pada minit ketujuh menerusi satu rembatan lencong. Malangnya, percubaan bekas penyerang Selangor FC itu dinafikan Ifwat Akmal Chek Kassim.

Dua minit selepas itu, giliran Gordic pula menguji kecekapan penjaga gol The Cats, Wan Azraie Wan Teh. Percubaan penyerang Serbia itu pantas dinafikan penjaga gol berusia 38 tahun itu.

Ad
Ad

Perlawanan kemudiannya dihentikan pada minit ke-14 oleh pengadil, Razlan Joffri Ali susulan hujan lebat dan padang digenangi air di Stadium Negeri.

Selepas sejam menunggu dan semakan daripada komisar perlawanan, aksi Kuching City dan Kedah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.