Jurulatih Muangthong United, Gino Lettieri mengakui gerun dengan ancaman yang dibawa tiga tonggak import Selangor FC iaitu Ali Olwan, Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes.
Lettieri berpandangan sedemikian menjelang aksi sulung Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang bakal berlangsung pada 19 September ini.
Saingan Liga Super menyaksikan Fernandez kini penjaring kedua terbanyak liga dengan tujuh gol. Beliau hanya ketinggalan tiga gol di belakang penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Bergson da Silva.
Manakala Fortes pula sudah menjaringkan sembilan gol dalam 14 penampilan Liga M. Ini termasuk enam gol dalam saingan Piala FA 2024.
Meskipun beliau baru saja menyertai Merah Kuning, Ali sudah mempamerkan bisanya. Penyerang Jordan berusia 23 tahun itu membuka akaun golnya semasa menentang Kuching City FC baru-baru ini.
Atas sebab itu, Lettieri mahu anak buahnya berusaha merantai pergerakan tiga tonggak import Selangor itu jika ingin meraih tiga mata penuh.
“Bagi pesaing seperti Selangor, saya secara peribadi tidak fokus kepada pemain lawan secara individu. Tapi saya tahu bahawa beliau (jurulatih Selangor, Nidzam Jamil) memiliki tiga pemain yang merbahaya dan berkualiti tinggi yang tidak boleh dipandang remeh.
“Tapi kita juga mahu para pemain kita agar bermain secara taktikal bagi mendapatkan keputusan dalam pertandingan yang kita harapkan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan seperti yang dilaporkan SiamSport.
Lettieri turut berharap penyokong dapat hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kepada The Kirins. Ini kerana sokongan mereka mampu mendorong Muangthong meraih kemenangan.
“Selangor pasukan yang kuat, jadi untuk berhadapan dengan mereka, kami perlu menumpukan perhatian sepanjang 90 minit dan kami perlu bermain dalam keadaan terbaik.
“Saya berharap ramai peminat kami akan datang untuk menyokong kami kerana ini adalah perlawanan pertama ACL2 yang kami perlu menang,” ujarnya.
Muangthong bakal berdepan cabaran Selangor di Stadium Rajamangala. Satu lagi aksi Kumpulan H bakal menemukan Jeonbuk Hyundai Motors dengan kelab Filipina, Dynamic Herb Cebu.