Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura mengakui kekalahan Singapura di tangan Nepal sebagai aksi terburuk pasukan itu di bawah bimbingannya.
Kedua-dua pasukan menggunakan perlawanan itu sebagai aksi pemanas badan sebelum mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 masing-masing.
Hasrat The Lions meraih kemenangan musnah apabila Gillespye Jung Karki menyumbat gol kemenangan buat The Gorkhalis pada separuh masa pertama.
Meskipun Singapura berusaha mendapatkan gol penyamaan, keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ogura menyifatkan aksi ini lebih buruk daripada kekalahan Singapura di tangan Korea Selatan.
“Jika kita bermain seperti ini, kita tak boleh menang dengan mana-mana pasukan. Dalam tempoh setahun saya di sini, ini aksi terburuk kita pernah bermain, lebih teruk daripada kekalahan 7-0 di tangan Korea Selatan,” katanya kepada The Straits Times.
“Nepal beraksi jauh lebih baik. Kita tiada apa-apa. Tiada semangat juang dan kita beraksi secara individu dan bukan sebagai satu pasukan macam Nepal.
“Mereka mahu menang, mereka mahu melindungi gol mereka, mereka anggap perlawanan persahabatan ini macam perlawanan kompetitif.”
Singapura berharap dapat bangkit untuk aksi pertama kelayakan menentang Hong Kong pada 25 Mac ini.