Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor mendedahkan sekeping foto calon pemain warisan Harimau Malaya, Hector Hevel.
Nama Hector Hevel menjadi tumpuan rakyat Malaysia apabila kelab yang diwakili di Portugal, Portimonense mengumumkan beliau bakal menerima panggilan skuad Malaysia pada bulan Mac ini.
Lantaran itu, pencetus revolusi Harimau Malaya, DYAM Tunku Ismail memuat naik sekeping gambar Hector Hevel bersama Peter Cklamovski yang dipercayai diambil di Johor sebelum ini.
Apa yang lebih menarik perhatian adalah kelibat Hector yang tampil segak berbusana baju melayu cekak musang lengkap beserta samping dan juga memakai songkok di sebelah Peter Cklamovski.
Baginda turut menjelaskan bahawa para pemain warisan ini sudah pun melaporkan diri pada 31 Januari lalu dan sedang menunggu kelulusan dari pihak kerajaan Malaysia sahaja.
”31 Januari, semua dah lapor, cuma menunggu kelulusan kerajaan sahaja. Malas nak bising-bising,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman Instastory.

Nama Hector Hevel ini dijangka menjadi salah seorang dari 3 pemain warisan yang akan tiba di sesi lartihan pasukan pada minggu hadapan seperti mana yang dimaklumkan oleh Peter Cklamovski.
Selain Hector, nama pertahanan Sabah FK di Liga Azerbaijan juga disebut-sebut bakal memperkuat benteng pertahanan Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia bertemu Nepal.