Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk menziarahi keluarga kurang bernasib baik bersama para pemain skuad Harimau Selatan.
Skuad JDT ketika ini dalam persiapan untuk menghadapi aksi penting bertemu Pohang Steelers dalam perlawanan terakhir pusingan liga AFC Champions League Elite (ACLE) Selasa ini.
Walaupun berdepan jadual latihan yang padat, namun para pemain sempat meluangkan waktu untuk menyertai DYAM Tunku Ismail menziarahi dan menyantuni keluarga di Pontian, Johor.
Menerusi satu hantaran di akaun media sosial DYAM Tunku Ismail, Baginda hadir bersama pemain dan pegawai pasukan menziarahikeluarga yang baru sahaja dilanda musibah baru-baru ini.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bersama para pemain dan pegawai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah meluangkan masa menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di daerah Pontian pada 16 Februari 2025.”
Baginda bersama pemain JDT mengambil kesempatan untuk menyampaikan sedikit sumbangan khas untuk para keluarga tersebut demi membantu meringkan beban yang dihadapi.
“Dalam kunjungan tersebut, Baginda turut menyampaikan sumbangan kurnia kepada wakil keluarga-keluarga tersebut.”
“Ini bagi membantu meringankan beban mereka seisi keluarga.”
Selepas ini, JDT akan memberi tumpuan sepenuhnya buat aksi menentang Pohang Steelers pada Selasa dengan misi untuk berada dalam kelompok 8 kelab terbaik ke pusingan kalah mati.
Pasukan milik DYAM Tunku Ismail ini berada di tangga ke-5 ketika ini dan miliki peluang cerah untuk layak ke pusingan seterusnya.