Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang untuk membalas dendam di atas kekalahan kepada Gwangju sebelum ini.
Setelah 7 minggu, skuad Harimau Selatan menghuni tangga ke-5 AFC Champions League Elite (ACLE) dengan mengutip 11 mata hasil 3 kemenangan, 2 keputusan seri serta dua kali tewas.
Kedudukan ini meletakkan JDT hanya selangkah untuk layak ke pusingan kalah mati apabila 8 pasukan terbaik akan mara dengan satu lagi perlawanan berbaki di peringkat liga ACLE ini.
Jika kedudukan ini kekal selepas aksi ke-8, JDT dijadualkan berdepan kelab dari Korea Selatan, Gwangju yang ketika ini menghuni tangga ke-4 bagi carta ACLE Zon Timur.
Hal ini kerana format pusingan 16 ACLE menyaksikan kelab-kelab dari zon yang sama ini akan bertemu sesama sendiri dengan pasukan di tangga teratas akan berdepan lawan di tempat ke-8.
Oleh itu, skuad Harimau Selatan yang kini berada di tangga ke-5 bakal menentang kelab di tempat ke-4 iaitu Gwangju jika kedudukan carta ini tidak berubah selepas aksi terakhir.
Kali terakhir JDT dan Gwangju bertemu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu tewas 1-3 pada Oktober lalu dalam aksi yang berlangsung di Yongin Mireu Stadium di Korea Selatan.
Walau bagaimanapun, JDT bakal menempuh aksi terakhir menentang Pohang Steelers terlebih dahulu pada minggu hadapan sementara Gwangju menanti kunjungan Buriram United.