Advertisements
Tunku Ismail Puji Erick Thohir Kemudi Bola Sepak Indonesia
Asia Tenggara
MakanBola
DYAM Tunku Ismail/Erick Thohir

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memuji impak Erick Thohir kepada bola sepak Indonesia sejak dilantik sebagai Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

Pujian itu dinyatakan baginda apabila melihat kemajuan yang ditunjukkan negara seberang itu jika dibandingkan dengan bola sepak Malaysia ketika ini.

“Contoh, Erick Thohir ada duit, pengetahuan, kenalan antarabangsa dan semangat. Itu pasal bola sepak Indonesia maju dalam projek infrastruktur bola, liga dan pasukan kebangsaan mereka,” katanya di X.

Sejak dipilih sebagai Presiden PSSI pada Februari 2023, pencapaian demi pencapaian telah dilakar bola sepak Indonesia.

Skuad Indonesia Bawah 23 Tahun (B-23) menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA selama 32 tahun dalam temasya edisi 2023. Pasukan ini turut merekodkan pencapaian tempat keempat Piala Asia B-23 2024 pada April lalu.

Suntikan pemain naturalisasi terutama yang berstatus warisan memacu pencapaian cemerlang skuad senior negara itu.

Tim Garuda bukan saja berjaya layak ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023. Malah, anak buah Shin Tae-yong turut merekodkan kedudukan ranking FIFA yang cukup signifikan.

Kejayaan mengikat beberapa pasukan gergasi Asia seperti Australia dan Arab Saudi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menyebabkan Indonesia pada satu ketika menduduki ranking ke-127 dunia.

Berdasarkan semakan terkini, pasukan itu kini di tangga ke-130 dunia. Selain layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, Indonesia juga sudah layak secara merit ke Piala Asia 2027.

Meskipun sibuk membantu memperkuat skuad Indonesia, Erick juga turut berusaha menaiktaraf dan membina infrastruktur baru bola sepak negara itu.

Ini termasuk pembinaan pusat latihan baru Tim Garuda di Ibu Kota Nusantara (IKN) dengan sokongan dana program FIFA Forward dan kerajaan Indonesia.

PSSI turut mengambil langkah menyertai Skim Pembangunan Bakat FIFA. Menerusi skim berkenaan, badan induk itu melatih 34 pengarah teknikal di peringkat wilayah untuk fokus kepada aspek seperti akar umbi, mengenal pasti bakat dan pembangunan jurulatih.

Melihat kepada pencapaian dan inisiatif yang diperkenalkan PSSI di bawah pimpinan Erick, tidak hairanlah bola sepak Indonesia terus mempamerkan kemajuan yang signifikan hari ini.