Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi bayangan tentang kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Peminat meletakkan harapan besar kepada DYAM Tunku Ismail untuk kembali memegang tampuk kepimpinan pasukan kebangsaan.
Hal ini susulan perkembangan memberangsangkan oleh negara jiran terutamanya Timnas Indonesia yang kini menapak gagah sebagai salah satu kuasa besar Asia Tenggara.
Baginda memberi bayangan bahawa akan ada kerjasama yang dijalinkan antaranya dan juga FAM bagi memacu lebih banyak kejayaan buat skuad kebangsaan.
DYAM Tunku Ismail memaklumkan bahawa baginda tidak akan menyertai FAM tetapi FAM akan menyertainya.
“Saya tidak akan sertai FAM, FAM akan sertai saya,” ujar baginda.
Baru-baru ini, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah mengadakan pertemuan dengan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkenaan langkah pembangunan bola sepak.
Pertemuan ini turut disertai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Pertemuan empat figura ini berlangsung pada 23 Oktober lalu.
Hannah turut memaklumkan semua idea dan pandangan yang dikongsikan Tunku Ismail sudah ada dalam perancangan yang disediakan FAM.
“RM15 juta khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri untuk pasukan Harimau Malaya perlu digunakan dengan sebaiknya bagi membantu pasukan kebangsaan.
“Patik telah mendengar pandangan dan cadangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam perancangan yang telah disediakan oleh FAM dan semua ini akan diteliti bersama oleh KBS Malaysia dan Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.