DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terus menyatakan sokongan kepada tujuh pemain warisan negara.
Perkara ini dinyatakan baginda selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuat keputusan terhadap rayuan yang difailkan tujuh pemain negara.
Ini termasuk tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.
Meskipun mengekalkan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain terbabit, mereka dibenarkan untuk menjalani aktiviti bola sepak termasuk berlatih dengan kelab masing-masing.
Ini disusuli pengumuman Malaysian Football League (MFL) yang memaklumkan Hevel, Figueiredo, Irazabal dan Gabriel Palmero akan menjalani penggantungan sehingga tempoh dinyatakan selesai.
Perkara tersebut langsung tidak menjejaskan sokongan Tunku Ismail kepada kesemua pemain yang terlibat. Ini dinyatakan baginda dalam satu hantaran di Instagram Story.
“Jangan tinggalkan orang di belakang. Sentiasa bersama anda semua,” katanya.
Kes Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain negara kini dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk tindakan selanjutnya.