Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk hadir ke hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya di Padang Seri Gelam.
Skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski melapor diri di Johor untuk kem latihan kebangsaan pada Isnin bagi melakukan persiapan sebelum aksi pertama Kelayakan Piala Asia.
Hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya tampaknya berjalan lancar dengan para pemain sudah mula berkumpul termasuklah kapten pasukan, Dion Cools selain kembalinya Faisal Halim.
Menerusi catatan Instastory, DYAM Tunku Ismail turut hadir ke Padang Seri Gelam bagi menyaksikan sendiri sesi latihan di bawah bimbingan barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya.
Kelibat DYAM Tunku Ismail dilihat sedang berbincang di tepi padang bersama Cklamovski, Rob Friend, Dr. Craig Duncan dan pembantu jurulatih seperti Matt Smith serta Hairuddin Omar.

Pasukan Harimau Malaya kini mempunyai misi penting bagi memulakan kempen Kelayakan Piala Asia dengan langkah kanan apabila melayani kunjungan Nepal pada 25 Mac ini.