DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor telah merealisasikan impian besar para peminat Harimau Malaya.
Baginda dalam satu kenyataan sebelum ini telah mendedahkan usaha untuk mendapatkan pemain warisan bagi membantu skuad kebangsaan mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
Malaysia bakal membuka tirai aksi menentang pasukan ke-175 dunia, Nepal pada 25 Mac 2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Desas-desus mengenai identiti pemain warisan baharu Harimau Malaya akhirnya baginda telah mendedahkan identiti seorang pemain yang bakal menyarung jersi kebangsaan.
DYAM Tunku Ismail mendedahkan bahawa perancang tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel menjadi pemain warisan pertama era revolusi pasukan kebangsaan tidak lama lagi.
”31 Januari, semua dah lapor, cuma menunggu kelulusan kerajaan sahaja. Malas nak bising-bising,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman Instastory miliknya.
Difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya dua orang lagi pemain warisan yang berpotensi untuk menyarung jersi kebangsaan dalam masa terdekat.
Malaysia yang kini menghuni tangga ke-132 dunia dalam misi untuk muncul juara kumpulan sekali gus layak ke pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.