Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memperkenan permintaan Terengganu FC.
Baru-baru ini, satu perpindahan mega telah termetrai apabila pemain sayap lincah, Akhyar Rashid telah menyertai Terengganu secara perpindahan tetap.
Permohonan skuad Peteh untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu secara tetap diperkenankan oleh DYAM Tunku Ismail.
“Permohonan ini telah diperkenankan oleh Tunku Mahkota Johor DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk melepaskan pemain ini ke Terengganu FC secara tetap.
“Pihak kelab mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan ini dan diharapkan kehadiran Akhyar ini terus mampu meningkatkan lagi kualiti pasukan ini untuk baki musim ini dan musim-musim akan datang.
Akhyar Rashid turut mengucapkan terima kasih buat kelab JDT dan juga DYAM Tunku Mahkota Johor atas segalanya.
“Keputusan yang dilakukan untuk melepaskan beliau untuk bersama Terengganu FC amat penting kerana beliau seorang pemain yang dikira sebagai aset pasukan kebangsaan.
“Pemain ini sangat diperlukan oleh skuad Harimau Malaya. Akhyar Rashid akan kekal bersama Terengganu FC sehingga musim 2026/2027,” tambah kenyataan kelab.
Akhyar telah merekodkan 7 jaringan secara keseluruhan dalam semua pertandingan bersama pasukan termasuklah dua gol ketika bertemu Shan United tempoh hari.