Pelukan erat antara tonggak Terengganu, Akhyar Rashid dan juga pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), La’Vere Corbin-ong mencuri tumpuan.
Tonggak berusia 25 tahun itu sah menyertai skuad Peteh secara tetap selepas dipinjamkan bagi musim 2024/25.
“Melihatkan impak yang diberikan pemain ini dalam mengangkat nama Terengganu FC dalam pertandingan domestik dan juga di peringkat ASEAN, kelab ini telah membuat permohonan secara rasmi untuk menandatangani pemain ini secara tetap dari kelab JDT.
“Permohonan ini telah diperkenankan oleh DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan bersetuju untuk melepaskan pemain ini khas untuk kelab Terengganu FC dan pemain ini boleh beraksi bersama Terengganu FC sebagai pemain tetap.
“Pihak kelab mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan ini dan diharapkan kehadiran Akhyar ini terus mampu meningkatkan lagi kualiti pasukan ini untuk baki musim ini dan musim-musim akan datang,” jelas kenyataan kelab.
Tugasan awal beliau selepas diikat secara tetap adalah menentang JDT bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia di Gong Badak namun tuan rumah tewas dengan keputusan 4-0.
Beliau berjaya dirantai kemas oleh pertahanan JDT, Matthew Davies sekaligus menyaksikan tugas sukar menanti di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi timbal balik.
Perkongsian di laman sosial menunjukkan hubung erat masih terjalin terutamanya melihat kepada pelukan erat antara Akhyar Rashid dan Corbin-ong selepas tamat perlawanan.
Ikatan persahabatan antara pemain lincah itu dengan rakan sepasukannya masih kuat sungguhpun kini beraksi buat pasukan lain.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada 25 Januari 2025 bagi aksi ke-19 Liga Super.