DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor meninggalkan satu komen menarik berhubung rekod tanpa kalah yang dipegang Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT terus melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 101 perlawanan selepas membelasah Sabah FC di Stadium Likas.
Ajdin Mujagic dan Oscar Arribas masing-masing menyumbat dua gol. Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo turut mencetak nama sebagai penjaring buat JDT.
Sabah meraih gol saguhati menerusi Chris Marlon Ondong-Mba. Meskipun begitu, JDT beraksi dengan 10 pemain apabila Antonio Glauder diarah keluar padang pada minit akhir permainan.
Rekod baru ini bukan saja memastikan rekod kebal JDT terus bertahan. Malah, ini membantu JDT terus bertakhta di persada liga dengan 51 mata.

Pencapaian terbaru JDT turut dikongsikan Tunku Ismail menerusi satu hantaran di Instagram Story. Hantaran baginda berbunyi, “Tak heboh, cuma menang.”
JDT kini mengalihkan fokus kepada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Melaka FC pada 25 Februari ini.