Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal dominan di persada Liga Super dengan membelasah Sabah FC di Stadium Likas.
JDT memburu tiga mata penuh untuk terus menjarakkan kedudukan dengan Selangor FC yang menduduki tempat kedua. Sabah pula mahu berharap dapat mencipta kejutan ke atas Harimau Selatan di Stadium Likas.
Bekas penyerang Sabah, Ajdin Mujagic mengetuai jentera serangan JDT. Penyerang kebangsaan, Darren Lok mengetuai jentera serangan Sang Badak.
Sabah ditimpa malang apabila JDT dianugerahkan sepakan penalti. Ini selepas semakan VAR mendapati wujud kekasaran ke atas pemain pelawat dalam kotak penalti Sabah.
Bergson da Silva tenang menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim pada minit kelapan. 13 minit kemudian, giliran Mujagic mencetak nama sebagai penjaring.
Tiga minit selepas itu, Oscar Arribas menambah kelebihan gol pelawat. Mujagic sekali lagi merobek gawang Damien dengan gol ke-10 dalam liga musim ini pada minit ke-40.
Dua gol penyerang Bosnia itu memastikan JDT mendahului 4-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, pemangku ketua jurulatih Sabah, Alto Linus memasukkan Gary Steven Robbat dengan harapan memperkemaskan jentera tengah pasukan itu.
Malangnya, gawang Sabah bocor buat kali kelima seminit selepas rehat menerusi Manuel Hidalgo. Dua minit kemudian, giliran Arribas pula menambah gol kedua peribadinya.
Sabah berjaya mengurangkan defisit gol menerusi Chris Marlon Ondong-Mba. Walau bagaimanapun, keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
JDT turut menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas Antonio Glauder diperintah keluar padang pada minit ke-90.
JDT terus menerajui liga dengan 51 mata. Sang Badak pula kekal di tangga ke-11 liga dengan 14 mata.
Selepas ini, JDT fokus untuk aksi kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Melaka FC pada 25 Februari. Anak buah Alto pula bersiap sedia untuk aksi liga menentang Negeri Sembilan FC pada 28 Februari.