Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi kenyataan penuh mengenai insiden simbahan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim.
DYAM Tunku Ismail memberitahu pada sesi audio siar secara langsung bersempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity di sini pada Ahad.
Katanya, Faisal merupakan seorang individu yang amat baik namun tidak mengetahui kehidupan peribadi pemain itu secara dekat.
“Pertama sekali, Faisal Halim ini merupakan budak yang baik tapi saya tidak tahu hidup peribadi dia. Apa yang berlaku terhadapnya merupakan satu tindakan yang wajar kita tentang.
“Akan tetapi, ada apa kena mengena dengan saya? Ada pihak yang cakap Tunku Mahkota Ismail adalah dalang (mastermind). Kalau saya nak habiskan orang, saya ada sasaran yang lebih besar dalam negara yang mengambil duit rakyat, orang yang bertanggungjawab rompak hasil duit rakyat, orang ini lebih penjenayah bagi saya,” jelas DYAM Tunku Ismail.
Baginda memberitahu secara jelas bahawa tiada sebab munasabah untuknya menjadi dalang bagi memcederakan pemain bola sepak seperti Faisal Halim.
“Faisal Halim ini cuma pemain bola sepak, tak kan orang Selangor tak boleh fikir dengan cara rasional, saya nak habiskan dia buat apa.
“Kami JDT lawan dengan Selangor tahun lepas, 4-0, 4-0 dan 2-0. Faisal Halim main pada perlawanan itu. Jadi, Faisal Halim bukan ancaman untuk saya” titahnya.
DYAM Tunku Ismail menambah bahawa Faisal yang dikenalinya hanyalah sebagai pemain bola sepak yang peramah namun tidak tahu akan kehidupan peribadinya.
Baginda juga menzahirkan rasa dukacita terhadap segala tuduhan yang dilemparkan selama ini.
“Saya pun rasa hina juga, macam bapuk nak main buang-buang asid. Macam dah tak ada isu, semua nak kaitkan dengan TMJ,” jelasnya.