Tunku Ismail Terima Menghadap Presiden PSG
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan terima menghadap delegasi Paris Saint-Germain (PSG) diketuai Presiden, Nasser Al-Khelaifi.

Perkara ini dikongsikan pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu kenyataan di platform Johor Southern Tigers.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap delegasi Paris Saint-Germain FC diketuai oleh Presiden Nasser Al-Khelaifi pada hari ini, 3 Januari 2026. Luaskan Kuasamu Johor,” kata kelab dalam satu kenyataan.

JDT dan PSG memiliki hubungan baik selepas memeterai kerjasama pada Januari tahun lalu. Antara aspek kerjasama yang diteroka kedua-dua kelab ialah pembangunan akar umbi, infrastruktur dan penjenamaan.

Malah, Tunku Ismail juga berkesempatan mengadakan lawatan khas ke pusat latihan juara bertahan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) itu pada April lalu.

Baginda turut menjadi tetamu untuk aksi FIFA Intercontinental Cup antara PSG dan Flamengo pada Disember lalu.

Jemputan tersebut dibuat oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar (QOC), Sheikh Joaan bin Hamad Al Thani dan Al-Khelaifi kepada baginda.