Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor tampil memperjelas spekulasi yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
Dalam satu artikel yang diterbitkan MakanBola, seorang pemain Barcelona SC iaitu Francisco Fydriszewski telah dikaitkan dengan perpindahan ke sebuah kelab gergasi tanah air iaitu Johor Darul Ta’zim.
Sebelum ini seorang wartawan Eropah, Joaquin Saavedra melaporkan bahawa khidmat penyerang sensasi ini ditagih JDT. Pemain yang bernilai sekitar RM6.6 Juta ini telah menerima banyak tawaran termasuklah salah satunya daripada skuad Harimau Selatan.
Berita perpindahan pemain berusia 31 tahun ini bagaimanapun telah dinafikan oleh Tunku Mahkota Ismail dalam satu kenyataan di Instagram MakanBola. Baginda menyatakan tidak kepada berita yang sedang tular itu.
“No,” tulis Tunku Ismail.
Johor Darul Ta’zim kini sedang menikmati permulaan musim yang indah dalam saingan Liga Malaysia. Setakat empat perlawanan liga, JDT berjaya mencatat semua kemenangan dan juga mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA 2024.
JDT kini mengungguli takhta dalam carta saingan Liga Super 2024/2025. Anak buah Hector Bidoglio bakal meneruskan aksi di pentas Piala FA berdepan Malaysian University pada Sabtu, 29 Jun kelak.