Advertisement
UAE ‘Bedil’ Juara Piala Asia, Qatar 5-0
Asia
MakanBola
Qatar FA

Hasrat Qatar membalas dendam kekalahan di tangan negara serantau, Emiriah Arab Bersatu (UAE) terbantut.

Ini selepas pasukan yang dibimbing Paulo Bento itu meraih kemenangan besar 5-0 ke atas juara Piala Asia 2023 itu.

Selepas meraih kemenangan ke atas Uzbekistan, Al-Annabi berharap dapat menambah satu lagi kemenangan untuk mengurangkan tekanan kepada jurulatih mereka, Tintin Marquez. Manakala Al-Abyad pula mahu mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Kyrgyzstan 3-0.

UAE pantas memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan mendahului seawal minit keempat menerusi Fabio Lima.

Tersentak, Al-Annabi berusaha mencari gol penyamaan menerusi kapten, Akram Afif dan Almoez Ali tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, Lima terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Qatar. Pemain tengah menyerang Al-Wasl itu mencipta hatrik dengan menambah dua gol pada minit akhir separuh masa pertama.

Bersambung selepas rehat, Marquez membuat empat pertukaran pemain dengan harapan menyekat Al-Abyad daripada menjaringkan gol tambahan.

Malangnya, hajat jurulatih Sepanyol itu tidak kesampaian apabila UAE dianugerahkan sepakan penalti. Lima tenang menewaskan penjaga gol Al-Sadd, Meshaal Barsham pada minit ke-56.

Yahya Alghassani melengkapkan malam gemilang Al-Abyad dengan menyumbat gol kelima pada minit ke-73. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan UAE terus menghambat pasukan yang menduduki tempat kedua Kumpulan A, Uzbekistan. Manakala Qatar jatuh ke tangga keempat dengan tujuh mata.

Sumbangan empat gol Lima menyebabkan beliau dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau menerima markah 10, jauh meninggalkan Yahya dengan kelebihan 1.6 mata.