Terengganu FC terpaksa melupakan khidmat pemain pertahanan yang semakin meningkat naik, Ubaidullah Shamsul Fazili.
Penganalisis bola sepak, Cafiq Sahari mendedahkan Ubaidullah terpaksa berehat sekitar sebulan hingga dua bulan selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) semasa aksi final Piala Malaysia 2023.
Kecederaan tersebut dialami beliau susulan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan.
Keadaan padang yang kurang memuaskan terjadi akibat penganjuran konsert kumpulan rock antarabangsa, Coldplay pada akhir November lalu.
Situasi ini bukan saja mengundang kritikan peminat bola sepak negara. Malah, ia turut mengundang rasa kurang senang Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Ubaidullah bernasib baik kecederaan ACL yang dialaminya tidak memerlukan beliau menjalani pembedahan.
Jika tidak, ini boleh menyebabkan bek tengah berusia 20 tahun itu terlepas peluang mewakili negara ke Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) pada tahun hadapan.
Ini bakal merencatkan perancangan Tomislav Steinbruckner dalam membentuk barisan yang mantap bila bertemu dengan Bali United untuk aksi terakhir Kumpulan G Piala AFC pada 13 Disember ini.
Ubaidullah bukan satu-satunya pemain yang dilaporkan mengalami kecederaan akibat keadaan padang SNBJ yang teruk itu.
Duo Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Corbin Ong dan Shane Lowry turut mengalami kecederaan dalam perlawanan sama.
Kedua-duanya masing-masing kemudian digantikan oleh Syahmi Safari dan Feroz Baharudin. JDT meraih gelaran juara Piala Malaysia 2023 dengan membenam Terengganu 3-1.