Ucapan terima kasih yang didedikasikan oleh pemain sayap negara, Akhyar Rashid kepada Pau Marti Vicente.
Pengendali muda kelahiran Barcelona itu menamatkan tempoh singkatnya selaku Pemangku Ketua Jurulatih Harimau Malaya menggantikan Kim Pan-gon sejak Julai lalu.
Tugasan terakhirnya adalah ketika membantu skuad kebangsaan mengharungi aksi ASEAN Championship namun perjuangan skuad negara berakhir pada peringkat kumpulan.
Peranan beliau bakal diambil alih oleh jurulatih kelahiran Australia, Peter Cklamovski yang secara rasminya merupakan pengendali Harimau Malaya pada 1 Januari 2024.
Para pemain negara yang diketuai oleh kapten pasukan, Dion Cools menyampaikan ucapan terima kasih kepada Pau Marti atas segala usaha yang dilakukan bersama.
Pemain sayap berbisa negara, Akhyar Rashid turut sempat meninggalkan mesej kepada Pau Marti tanda penghargaan buatnya yang bakal membawa haluan baharu.
“Terima kasih atas segalanya jurulatih (Pau Marti), selamat maju jaya,” ujar Akhyar di laman X.
Cabaran seterusnya buat Harimau Malaya adalah aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal bermula Mac ini.
Skuad negara diundi bersama jaguh Asia Tenggara, Vietnam dan dua lagi pasukan iaitu Nepal juga Laos.