DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor melafazkan rasa syukur selepas melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke final Unifi Piala Malaysia 2024/25.
JDT mara dengan kemenangan agregat 6-1 selepas mengatasi cabaran juara edisi 2001, Terengganu FC.
Meskipun begitu, juara Liga Super 10 kali itu dipaksa bekerja keras oleh anak buah Badrul Afzan Razali dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selepas mendahului menerusi Heberty Fernandes, JDT diikat 1-1 oleh pelawat menerusi Ismaheel Akinade. Heberty muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Tunku Ismail bersyukur kerana usaha pemburuan trofi Harimau Selatan terus membara. Baginda turut berterima kasih kepada 23,000 penyokong yang hadir dalam aksi hari ini.
“(Pemburuan trofi) masih lagi membara. Terima kasih kepada 23,000 (penyokong) yang hadir pada hari ini. Alhamdulillah, satu lagi final (buat) JDT,” katanya di X.
JDT kini menunggu pemenang satu lagi aksi separuh akhir membabitkan Sri Pahang FC dan Sabah FC. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama pada 18 Januari lalu.
Kedua-dua pasukan bakal berentap buat kali kedua di Temerloh pada 2 Februari untuk menentukan siapa yang bakal menentang JDT di pentas final.