Advertisements
UCL: Penalti Bantu Inter Milan Tundukkan Arsenal
UEFA Champions League
MakanBola
UEFA

Prestasi tidak menentu Arsenal seakan tiada kesudahan apabila pasukan itu tewas kepada juara Serie A musim 2023/24, Inter Milan.

The Gunners mahu bangkit selepas tewas 1-0 kepada Newcastle United pada 2 November lalu. Manakala Nerazzurri pula mahu meneruskan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan sejak tewas kepada A.C Milan pada September lalu.

Lautaro Martinez dan Mehdi Taremi menjadi sandaran gol jurulatih Inter, Simone Inzaghi. Manakala Kai Havertz dan Leandro Trossard menjadi pilihan Mikel Arteta untuk merobek gawang Inter Milan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium San Siro.

Pemain tengah Turkiye, Hakan Calhanoglu hampir meletakkan Nerazzurri di hadapan seawal minit ketiga. Malangnya, rembatan rendah beliau mudah diselamatkan penjaga gol Arsenal, David Raya.

Meskipun The Gunners banyak menguasai bola, pasukan utara London itu seakan buntu mencari ruang menembusi pertahanan tuan rumah diketuai Stefan de Vrij.

Arsenal kemudiannya menyangka mereka patut mendapat sepakan penalti pada minit ke-28. Ini selepas penjaga gol Inter, Yann Sommer tertumbuk kepala Mikel Merino semasa mendapatkan bola.

Selepas insiden tersebut disemak pegawai VAR, Christian Dingert, penalti tidak diberi kepada pelawat.

Tatkala perlawanan seakan terikat tanpa jaringan menuju rehat, pemain Inter berang apabila bola yang cuba dikeluarkan Merino terkena tangannya. Ini menyebabkan pengadil Romania, Istvan Kovacs menganugerahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Calhanoglu memastikan Nerazzurri memiliki kelebihan 1-0 sehingga rehat menerusi penalti mudah yang menewaskan Raya.

Bersambung selepas rehat, Arteta memasukkan Gabriel Jesus untuk menambah sengat di bahagian serangan The Gunners.

Malangnya, setiap serangan yang cuba direncanakan Havertz dan Trossard kerap digagalkan pertahanan Inter diketuai de Vrij.

Arsenal hampir mendapat gol penyamaan apabila bola sepakan sudut Bukayo Saka hampir ditolak ke gawang sendiri oleh Mehdi Taremi pada minit ke-58. Inter bernasib baik kerana Denzel Dumfries pantas mengeluarkan bola daripada menerjah jaring.

Pelawat terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Nerazzurri tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kekalahan ini menyaksikan rekod tanpa kalah Arsenal dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) lebur di tangan Inter.

Kemenangan ini meletakkan anak buah Inzaghi berada dalam kelompok lima teratas liga UCL dengan 10 mata. Manakala Arsenal jatuh ke tangga ke-12 dengan tujuh mata.

Meskipun tewas, pemain sayap Arsenal, Gabriel Martinelli dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 7.9, 0.2 mata di hadapan bek tengah Inter, Yann Biseck.

Selepas ini, Nerazzurri akan menentang Napoli dalam aksi terbaru Serie A pada awal pagi 11 November. Manakala The Gunners bakal berentap dengan Chelsea untuk aksi setempat London pada hari yang sama.