Newcastle United menghadiahkan kekalahan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada kelab gergasi utara London, Arsenal.
The Magpies mahu bangkit selepas tewas dua aksi terakhir liga di tangan Brighton dan Chelsea. Manakala The Gunners mahu menamatkan penantian dua perlawanan tanpa kemenangan selepas diikat 2-2 dengan Liverpool.
Penyerang berbisa Sweden, Alexander Isak terus menjadi sandaran gol pengurus The Magpies, Eddie Howe. Manakala Kai Havertz menjadi pilihan Mikel Arteta untuk merobek gawang Newcastle.
Separuh masa pertama menyaksikan Newcastle berusaha mencari kelebihan gol awal dengan sokongan padu penyokong di St. James Park.
Gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-12 menerusi Isak. Bekas penyerang Real Sociedad itu mudah menanduk hantaran pantas Anthony Gordon yang menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Tersentak, The Gunners mula meningkatkan tekanan ke arah kubu pertahanan Newcastle yang dikawal bek tengah Switzerland, Fabian Schar.
Bukayo Saka menyangka dirinya berpeluang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-37. Malangnya, beliau tidak dapat mencapai hantaran yang direncana Leandro Trossard.
Arsenal terus memberi tekanan kepada tuan rumah tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Newcastle berusaha mencari gol kedua perlawanan. Mereka hampir mendapatnya menerusi Joe Willock pada minit ke-46 tetapi disekat Raya.
Arteta berusaha mengubah momentum dengan memasukkan Oleksandr Zinchenko dan bintang muda berusia 17 tahun, Ethan Nwaneri pada minit ke-60. Sementara Howe pula memasukkan Sandro Tonali menggantikan Willock.
Isak hampir menambah gol keempatnya musim ini dengan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti dua minit selepas itu. Walau bagaimanapun, rembatan deras beliau pantas ditepis Raya.
Joelinton hampir menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-86 selepas menerima hantaran pemain gantian, Harvey Barnes. Malangnya, tandukan beliau mudah ditangkap Raya.
Arsenal terus memberi tekanan kepada Newcastle tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kali kedua Arsenal tewas selepas dimalukan Bournemouth pada 20 Oktober lalu.
Sofascore memilih bintang muda The Magpies, Lewis Hall sebagai pemain terbaik perlawanan. Hall menerima 8.0 mata, 0.6 mata di hadapan Gordon dan pemain tengah Arsenal, Thomas Partey.
Selepas ini, The Gunners akan kembali mengharungi kempen Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Inter Milan pada awal pagi 7 November.
Manakala Newcastle pula akan ke City Ground untuk menentang Nottingham Forest pada 11 November.