Rentak kemenangan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) tergugat apabila tewas 2-0 kepada Arsenal di Stadium Emirates.
PSG mahu meneruskan momentum kemenangan dalam UCL selepas menewaskan Girona pada 19 September. Manakala The Gunners pula memburu kemenangan pertama selepas diikat Atalanta tanpa jaringan pada 20 September.
Bintang Korea Selatan, Lee Kang-in diberi tugas memburu gol oleh jurulatih Les Parisien, Luis Enrique. Manakala jurulatih Arsenal, Mikel Arteta pula mempertaruhkan ketajaman bintang Jerman, Kai Havertz.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. PSG hampir meraih gol pendahuluan seawal minit ke-10 menerusi Nuno Tavares tetapi percubaannya tersasar.
Penyokong Arsenal ceria apabila Havertz meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-20. Selepas melepasi cabaran beberapa pemain PSG, Leandro Trossard melakukan hantaran yang mudah disempurnakan bekas bintang Chelsea itu.
Tersentak, pelawat berusaha mencari gol penyamaan. Tavares terus mencemaskan pertahanan Arsenal menerusi rembatan pada minit ke-28 tetapi percubaannya terkena palang.
Tatkala PSG terus mengasak, The Gunners memastikan mereka memiliki kelebihan dua gol menerusi Bukayo Saka pada minit ke-35. Sepakan percuma Saka yang rendah mengelirukan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnaruma sebelum menerjah jaring.
Arsenal terus memburu gol ketiga perlawanan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, The Gunners terus memberi tekanan kepada pelawat untuk mendapatkan gol ketiga.
Cubaan PSG bermain dari belakang menyebabkan bola pantas dirampas oleh Havertz sebelum dihantar kepada Gabriel Martinelli. Pemain sayap Brazil itu merembat deras bola ke arah gawang pelawat pada minit ke-52 tetapi dinafikan Donnaruma.
Melihat kedudukan Arsenal sukar digugat, Arteta menggunakan peluang ini untuk memasukkan Mikel Merino pada minit ke-63. Ini penampilan pertama bekas bintang Newcastle itu sejak berpindah ke Stadium Emirates dari Real Sociedad.
PSG gagal mendapat penalti pada minit ke-88 meskipun mendakwa Randall Kolo Muani dijatuhkan oleh Declan Rice. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan PSG tewas buat kali keempat di England setiap kali beraksi di UCL sejak Disember 2020. Selain Arsenal, pasukan itu tewas dua kali kepada Manchester City dan tewas sekali kepada Newcastle.
Keputusan ini menyaksikan Arsenal di tangga kelapan liga UCL dengan empat mata. Manakala PSG pula jatuh ke tangga ke-18 dengan tiga mata.
Selepas ini, Arsenal akan melayan Southampton pada 5 Oktober. Manakala PSG pula berdepan Nice pada awal pagi 7 Oktober.