UEL: Rasmus Hojlund Pacu Manchester United Tewaskan Viktoria Plzen
MakanBola
Manchester United
Sponsors

Penyerang Denmark, Rasmus Hojlund membantu Manchester United menewaskan Viktoria Plzen dalam aksi terbaru Liga Europa UEFA (UEL).

Selepas dimalukan Nottingham Forest 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) baru-baru ini, United yang dibimbing Ruben Amorim mahu segera bangkit. Plzen yang dibimbing Miroslav Koubek pula mengintai peluang menambah derita The Red Devils.

Ad

Bekas penyerang Watford, Matej Vydra menjadi sandaran gol Koubek. Amorim pula mempertaruhkan Joshua Zirkzee, Marcus Rashford dan Amad Diallo untuk mengetuai jentera serangan United.

Separuh masa pertama menyaksikan pelawat hampir mendahului menerusi Zirkzee seawal minit kelima. Malangnya, percubaan penyerang Belanda itu berjaya disekat pertahanan Plzen.

Ad

Kapten The Red Devils, Bruno Fernandes menguji penjaga gol Plzen, Martin Jedlicka dari luar kotak penalti pada minit ke-31. Walau bagaimanapun, rembatan derasnya berjaya dinafikan penjaga gol berusia 26 tahun itu.

Ad

Tuan rumah hampir mencuri gol pendahuluan menerusi Cheick Souare pada minit akhir babak pertama tetapi percubaannya sedikit tersasar. Keadaan ini memastikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga rehat.

Ad

Bersambung selepas rehat, nama Andre Onana kembali menjadi bualan penyokong United. Selepas gagal menangkap bola Morgan Gibbs-White dalam aksi menentang Nottingham Forest, penjaga gol Cameroon itu sekali lagi melakukan kesilapan pada minit ke-48.

Kesilapannya mengagak hantaran bola Mathijs de Ligt pantas dicuri oleh Vydra. Beliau kemudiannya menolak bola ke dalam gawang United yang kosong.

Amorim membuat tiga pertukaran pemain dengan tujuan menukar momentum permainan kembali memihak kepada The Red Devils. Beliau memasukkan Hojlund, Antony dan Mason Mount.

Kemasukan tiga pemain ini membuahkan hasil apabila penyerang Denmark itu menyamakan kedudukan pada minit ke-63. Hojlund pantas menolak bola muntah yang terlepas daripada Jedlicka ke dalam gol.

United terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Plzen. Jedlicka terpaksa bekerja keras menafikan percubaan Mount pada minit ke-77.

Gawang Plzen akhirnya bocor buat kali kedua 11 minit selepas itu. Selepas menerima hantaran Fernandes, Hojlund meledakkan gol kemenangan United melepasi Jedlicka.

Kemenangan kedua United di Eropah menyaksikan pasukan itu kini di tempat ketujuh liga UEL dengan 12 mata. Plzen pula jatuh ke tangga ke-17 dengan sembilan mata.

Impak Fernandes diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Beliau mendapat markah 8.6, 0.3 mata di hadapan Hojlund.

Selepas ini, United bakal berdepan musuh setempat, Manchester City dalam aksi terbaru EPL pada 16 Disember. Plzen pula akan menentang Dynamo Ceske Budejovice pada hari yang sama.