Bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon membuat permulaan baik dalam saingan K-League 1 apabila Ulsan HD merekodkan kemenangan ke atas FC Daegu.
Selepas menerima tawaran juara K-League 1 musim 2023 itu sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Hong Myung-bo, jurulatih berusia 55 tahun itu mahu anak buahnya kembali mendapat rentak kemenangan.
Ini selepas The Tigers sebelum ini tewas kepada Jeju United dan Gwangju dalam dua aksi terakhir K-League 1. Pan-gon menurunkan barisan terkuat menentang Daegu termasuk penjaring terbanyak liga pada musim 2023, Joo Min-kyu.
Separuh masa pertama menyaksikan Daegu berusaha mencipta kejutan ke atas juara liga itu dengan mencari kelebihan gol awal tetapi gagal.
Sebaliknya, Ulsan yang memecah kebuntuan menerusi jaringan sendiri bek kanan pelawat, Ko Myeong-seok pada minit ke-30.
Daegu berusaha menembusi gawang The Tigers yang dikawal Jo Hyeon-woo tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan pelawat berusaha mengubah momentum permainan dengan melakukan beberapa pertukaran pemain.
Malangnya, usaha tersebut terus digagalkan oleh corak permainan berdisiplin yang dipamerkan Ulsan. Dan itu sudah cukup buat The Tigers menghadiahkan kemenangan pertama buat Pan-gon pada akhir perlawanan.
Kini, fokus Pan-gon seterusnya ialah aksi liga menentang Suwon FC pada 18 Ogos ini.