Harapan Urawa Reds untuk mengejar pendahulu J1 League, Vissel Kobe terkubur apabila mereka tewas 2-1 dalam aksi terbaru liga hari ini.
Dengan perbezaan mata sekitar lapan mata, juara ACL musim 2022 itu berharap dapat merapatkan jurang dengan Kobe dan Yokohama F. Marinos yang berada di tempat kedua.
Babak pertama menyaksikan Kobe banyak mendominasi permainan. Bagaimanapun, Urawa memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan mula meningkatkan rentak permainan masing-masing.
Kobe merobek hati penyokong tuan rumah dengan menyumbat gol pada minit ke-72 menerusi bek tengah Brazil, Matheus Thuler.
Tersentak, Urawa bangkit memburu gol penyamaan. Hasilnya, Jose Kante menyumbat gol kelapannya musim ini pada minit ke-91.
Namun begitu, keinginan Kobe untuk menjulang gelaran juara J1 League mendorong mereka memburu gol kemenangan.
Gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-96 menerusi penyerang Jepun, Yuya Osako. Beliau kini sudah penjaring terbanyak J1 League musim ini dengan 22 gol.
Ini kekalahan kelima berturut-turut Urawa dalam semua kejohanan termasuk baru-baru ini di tangan Pohang Steelers dalam ACL.
Kemerosotan prestasi Urawa perlu diatasi segera jurulatih Maciej Skorza sekiranya mereka mahu mara ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL dan kedudukan tiga teratas liga.
Disebabkan impaknya dalam perlawanan ini, Osako diangkat pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.5 mata. Sementara Kante pula pemain terbaik Urawa dengan 7.4 mata.