Piala Dunia
Owuraku Ampofo
Advertisements

Walaupun mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Ghana, kemenangan tersebut tidak bermakna kepada Uruguay. Ini selepas mereka dan Black Stars tersingkir dari Piala Dunia susulan kemenangan mengejut Korea Selatan ke atas Portugal dalam satu lagi aksi Kumpulan H.

Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati dan tidak mengambil terlalu banyak risiko. Bagi Ghana, seri sudah cukup untuk mengiringi Portugal ke pusingan kalah mati. Tetapi bagi La Celeste pula, satu-satunya cara mereka boleh layak ialah dengan membenam cabaran Black Stars.

Peluang awal Uruguay hadir pada minit ke-10 apabila Guillermo Varela menghantar bola kepada Facundo Pellistri. Pellistri cuba menghantar ke kotak penalti Black Stars tetapi tiada seorang pun pemain Uruguay berada di situ sekaligus memudahkan pertahanan Uruguay merampas semula penguasaan bola.

Advertisements

Empat minit kemudian, penyerang Liverpool Darwin Nunez hampir menggegar jaring Ghana. Nunez berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan Black Stars dan bersedia menggegar gawang yang dikawal Lawrence Ati-Zigi. Bagaimanapun, Mohammed Salisu berjaya mengejar dan merampas semula bola daripadanya.

Andre Ayew Ghana Uruguay Piala Dunia 2022 talkSPORT Uruguay Dan Ghana Tersingkir Dari Piala Dunia
Sepakan penalti Andre Ayew berjaya diselamatkan Sergio Rochet. Gambar: talkSPORT

Ghana kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-16. Ini selepas Sergio Rochet dikesan VAR menjatuhkan pemain sayap Ajax Amsterdam, Mohammed Kudus dalam kotak penalti. Tetapi malangnya, sepakan penalti mudah tetapi lemah yang diambil Andre Ayew pada minit ke-21 berjaya diselamatkan Rochet.

La Celeste sekali lagi berpeluang menembusi gawang Black Stars menerusi Nunez dua minit selepas itu. Penyerang Reds itu berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan bola sebelum cuba melambungkan bola ke arah gawang yang terbuka. Bagaimanapun, Salisu sekali lagi muncul sebagai penyelamat dengan mengeluarkan bola daripada melintasi garisan gol.

Advertisements

Tetapi serangan bertali arus Uruguay akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-26 menerusi Giorgian de Arrascaeta. Bermula daripada Nunez, penyerang Liverpool itu melorongkan bola kepada Luis Suarez sebelum meledakkan rembatan ke arah gawang Ghana. Walaupun Ati-Zigi berjaya menafikan percubaan bekas penyerang Barcelona itu, bola muntah berjaya ditanduk de Arrascaeta masuk ke gawang Black Stars.

Giorgian de Arrascaeta meraikan jaringannya bersama kapten Luis Suarez. Gambar: SPORTbible

Uruguay menggandakan kelebihan mereka menerusi gol kedua de Arrascaeta pada minit ke-32. Sekali lagi, gandingan Nunez-Suarez mencetuskan huru-hara dalam kalangan pertahanan Ghana. Lambungan bekas penyerang Atletico Madrid itu selepas menerima umpanan Nunez mudah ditolak de Arrascaeta menewaskan Ati-Zigi.

Bagaimanapun, pemain tengah Flamengo itu bernasib baik masih berada di atas padang. Ini selepas de Arrascaeta didakwa memijak Alidu Seidu pada minit ke-43 semasa cuba merebut bola. Di sebalik rayuan pemain-pemain Ghana kepada pengadil agar pemain Uruguay itu dikenakan tindakan, ia tidak dilayan oleh pengadil mahupun VAR. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Ghana cuba bangkit dan mula menguji Rochet menerusi percubaan Osman Bukari pada minit ke-47. Tetapi malangnya, percubaan penyerang Red Star Belgrade itu tidak menemui sasaran. Kemasukan Bukari dan seorang lagi pemain gantian Kamaldeen Sulemana memberi nafas baru kepada barisan serangan Black Stars.

Uruguay kemudiannya mendakwa mereka berhak mendapat sepakan penalti pada minit ke-57. Ini selepas pemain pertahanan Leicester, Daniel Amartey didakwa mengasari Nunez semasa mengeluarkan bola dari kotak penalti. Tetapi selepas menyemak semula dengan VAR, pengadil tetap tidak menganugerahkan sepakan penalti kepada La Celeste.

Ghana terus mengasak tetapi mereka hampir saja dibolosi buat kali ketiga pada minit ke-65. Kali ini, giliran Pellistri pula mencuba nasib tetapi sepakan penyerang Manchester United itu tidak menepati sasaran. Pellistri dan Suarez kemudiannya dikeluarkan dan digantikan oleh Edinson Cavani dan Nicolas de la Cruz.

Advertisements

Uruguay terus memburu gol ketiga dan hampir meraihnya menerusi percubaan Federico Valverde pada minit ke-70. Sepakan voli jarak jauh pemain tengah Real Madrid bagaimanapun berjaya ditangkap kemas Ati-Zigi. Tak lama selepas itu, Kudus pula menguji Rochet tetapi sepakan jarak jauhnya langsung tidak mencemaskan penjaga gol Nacional itu.

Ghana dua kali berpeluang menjaringkan gol menerusi Antoine Semenyo (minit ke-77) dan Kudus (minit ke-81). Bagaimanapun, cubaan penyerang Bristol City itu tersasar ke sebelah kiri gawang Rochet. Manakala percubaan Kudus pula dinafikan penjaga gol Nacional itu sebelum ia menembusi gawang Uruguay.

Dengan Korea Selatan membenam Portugal 2-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan H, La Celeste memerlukan satu lagi gol untuk memotong Pahlawan Taeguk dari segi kelebihan jaringan. Ini mendorong Uruguay menggandakan asakan pada minit akhir perlawanan. Tetapi pada akhirnya, ia tak cukup untuk menghalang Korea Selatan mengiringi Portugal ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram